fbpx

Rumah calon Muda DUN Sungai Kandis dipecah masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afriena menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas rumah keluarganya di Kampung Jawa, Klang dipecah masuk, kelmarin.

KLANG – Kempen calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Afriena Shaqira Sariff sedikit terganggu selepas rumah keluarganya di Kampung Jawa di sini, dipecah masuk kelmarin.

Kejadian itu disedari Afriena, 26, kira-kira pukul 1 tengah hari selepas pulang ke rumah bagi mengambil selendang.

Kata Afriena, dia terkejut apabila mendapati keseluruhan rumah dalam keadaan berselerak sebelum menghubungi kedua ibu bapanya.

Katanya, semasa kejadian kedua-dua ibu bapanya tiada di rumah kerana menziarahi nenek saudara yang uzur di Pandamaran.

“Antara yang hilang termasuk barangan kemas seperti rantai dan cincin, wang tunai berjumlah RM2,000, sebuah komputer riba miliknya dan telefon bimbit kakaknya.

“Apa menyedihkan ada antara barang kemas yang dicuri itu adalah pemberian arwah nenek, Allahyarhamah Aminah Ali dan saya harap pihak polis tangkap pencuri itu secepat mungkin,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat gerakan Muda DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Jelasnya, ini merupakan kali pertama kejadian seumpamanya berlaku setelah tinggal lebih 20 tahun di situ.

Tambah Afriena, dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI