fbpx

Kedah wujudkan kawasan bebas berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Alor Madi, Anak Bukit hari ini.

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah akan mewujudkan kawasan bebas berniaga kepada peniaga dan penjaja statik yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana lokasi sesuai di lima daerah negeri itu mulai Ahad ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kawasan tersebut melibatkan lokasi di bawah lima pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Kata beliau, PBT berkenaan adalah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP).

“Kalangan peniaga yang berminat boleh merujuk dan mendapatkan kelulusan daripada PBT terlibat berkenaan lokasi berniaga yang dipilih.

“Mereka dikehendaki memohon permit perniagaan sementara secara bulanan iaitu tidak secara kekal dan akan dikenakan caj sebanyak RM10 sahaja sebulan,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Alor Madi, Anak Bukit di sini hari ini.

Kata Muhammad Sanusi, peniaga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja dan Gerai PBT masing-masing.

“Mereka perlu memastikan tapak niaga tidak mengancam keselamatan awam, tidak mengganggu lalu lintas selain menjaga kebersihan termasuk tidak meninggalkan barang niaga di kawasan tersebut,” ujarnya.

Beliau pada masa sama memohon kerjasama daripada Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT terlibat supaya membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berkala bagi memastikan lokasi perniagaan berada dalam keadaan selamat dan bersih. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI