PUTRAJAYA – Skuad Malaysian University melaungkan keyakinan untuk menjuarai saingan Liga Bola Sepak Wanita (LWN) 2023 yang akan membuka tirainya esok hingga 19 November depan.
Walaupun rata-rata pemain baru kali pertama dikumpulkan bersama tetapi ia bukan satu halangan buat Malaysian University untuk mendominasi kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.
Ketua jurulatihnya, Mohd. Fairuz Abd. Aziz menegaskan, beliau percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya yang diperkuatkan dengan empat pemain kebangsaan beraksi pada Sukan SEA Kemboja lalu.
Empat pemain itu ialah kapten, Nur Syafiqah Azinal Abidin, Eva Olivianie Antinus, Putri Arissa Balqis Ab. Llah dan Siti Nurfaizah Saidin.
“Kementerian (Pendidikan Tinggi) meletakkan sasaran menjadi juara. Jadi saya tak nak fikir mengenai kemampuan pasukan lawan kerana dalam bola sepak ada strategi dan taktikal masing-masing.
“Jadi saya harap para pemain bersedia sepenuhnya dan turun dengan penuh motivasi untuk melakar kemenangan bermula aksi pertama esok,” kata Fairuz.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pasukan Malaysian University di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya hari ini.
Selain empat pemain kebangsaan, Malaysian University turut diperkuatkan dengan kehadiran penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan yang sebelum ini beraksi bersama Misaka United FC dalam saingan Liga India 2023.
Sementara itu, Nur Syafiqah berharap dia dan rakan sepasukannya dapat meraih tiga mata penuh dalam aksi pembukaan LWN 2023 menentang Selangor FC di laman sendiri, Stadium UITM Shah Alam pada pukul 4.30 petang esok.
“Kami akan mencuba sedaya upaya untuk menjadi juara. Kemenangan aksi pertama esok amat penting kerana ia dapat menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk perlawanan seterusnya,” jelas pemain tengah itu.
Selain Malaysian University dan Selangor FC, empat lagi pasukan mengambil bahagian adalah Sabah FC, Kelab Bola Sepak Kelana United, Kelab Bola Sepak LMS Tigress dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang. – KOSMO! ONLINE