fbpx

K2

Jeti Batu Hampar ‘port’ memancing sambil bersantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pemancing berusaha mendaratkan ikan menggunakan joran.

AKTIVITI memancing di laut dan kelong di pesisir pantai memerlukan bajet yang tinggi walaupun kos tersebut boleh dikongsi bersama rakan-rakan kaki pancing.

Kos terlibat adalah bayaran untuk menggunakan kemudahan disediakan pengusaha seperti bot, kelong, dapur dan gas memasak.RZ

Namun, di Jeti Batu Hampar berhampiran Bukit Jugra, Selangor, aktiviti memancing boleh dilakukan tanpa sebarang kos.

Menariknya di sini, pemancing boleh bersantai sambil menunggu joran direntap penghuni muara sungai tersebut.

Seorang pemancing, Osman Sakir, 46, berasal dari Kampung Endah Morib berkata, jeti tersebut sememangnya menjadi tumpuan pemancing sama ada berkumpulan atau individu.

“Selepas seharian bertugas sebagai kakitangan awam, aktiviti memancing ikan seperti gerut-gerut, keli, duri, tirusan mahupun gelama papan di sini amat mengujakan.

“Sambil memancing, saya dan kawan-kawan akan bersantai sambil bercerita topik ringan dan tidak memeningkan kepala,” katanya.

Osman yang sudah 10 tahun memancing di jeti tersebut memberitahu, perkara paling menggembirakan apabila jorannya diragut ikan yang kadangkala tidak dikenalinya.

Jelasnya lagi, keadaan itu menyebabkan dia bertanya ‘otai-otai’ yang turut memancing di lokasi sama untuk menambah ilmu perikanan.

“Selain mengisi masa lapang, saya turut mendapat ramai kawan baharu menerusi aktiviti memancing di sini.

“Pemandangan di sini pun cantik dan mendamaikan.

MUHAMAD HELMY menunjukkan ikan keli Afrika yang berjaya dipancingnya.

“Boleh melepaskan tekanan fikiran setelah seharian bekerja melayan kerenah orang ramai,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Hazri Paimin, 38, dari pekan Banting berkata, arus air muara yang agak tenang menyebabkan suasana memancing di lokasi tersebut cukup terkawal.

Hazri berkata, walaupun terdapat bot kecil dan bot besar lalu-lalang, namun aktiviti memancing di situ tidak terganggu sekiranya bijak mencari lokasi meletakkan umpan.

“Apa yang merisaukan apabila mata kail tersangkut pada sampah yang menyebabkan aktiviti memancing sedikit terganggu. Bak kata orang setiap minat mesti ada cabaran.

“Kena cuba dan terus mencuba melontar umpan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia menggunakan umpan udang untuk memancing sejak mula aktif dengan hobi tersebut kira-kira tujuh tahun lalu.

Tambahnya, dia dan rakan-rakan berjaya memancing ikan daun baru dan gerut-gerut dengan menggunakan umpan udang.

“Mungkin ikan di sini suka makan umpan udang bersaiz kecil.

“Saya jarang menggunakan umpan lain sejak mula memancing di sini, melainkan udang,” katanya.

Seorang pemancing berasal dari Jugra, Muhamad Helmy Sipat, 33, berkata, dia berjaya mendaratkan ikan keli Afrika lebih sekilogram setelah memancing lebih dua jam.

Muhamad Helmy berkata, dia jarang menangkap ikan tersebut, namun bernasib baik dapat mendaratkan spesies berkenaan walaupun perlu memerah kudrat.

“Kepada kaki pancing, jika berhajat memancing spesies ikan yang unik, Jeti Batu Hampar adalah tempatnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI