fbpx

Skuad karate mencari emas di Sukan Asia Hangzhou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD karate bersemangat hadapi temasya Sukan Asia Hangzhou, China. (FOTO Ihsan MSN)

BUKIT JALIL – Jurulatih karate Malaysia, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy mengakui dia tidak mampu meramal masa depan, namun tetap meletakkan sasaran peribadi untuk membawa pulang pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, China yang bermula pada 23 September depan.

Keyakinan itu hadir selepas jurulatih dari Mesir tersebut yang mengendalikan skuad karate pada Februari tahun ini melihat atlet negara mula menunjukkan peningkatan prestasi terutama sewaktu menuai tiga pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka.

Bagaimanapun, Tamir mengakui tiga pingat gangsa yang diraih atlet Malaysia di Melaka bulan lalu sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi Sukan Asia Hangzhou nanti.

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt ketika melakukan lawatan ke pusat latihan skuad karate negara di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini. (FOTO Ihsan MSN)

Justeru, bagi meningkatkan kenyakinan atlet, Tamir mengakui pihaknya merancang untuk menghantar skuad karate negara menjalani latihan di luar negara selain mengatur latihan ‘sparring’ secara tertutup di Malaysia bersama atlet berpengalaman dari Mesir sebelum bertolak ke Hangzhou.

“Berkenaan soal sasaran di Sukan Asia, saya akui tidak mampu meramalkan masa depan. Saya seorang jurulatih profesional dan saya datang ke sini bukan untuk berhibur. Saya tidak mahu berjanji, tapi apa yang boleh saya katakan setiap atlet sangat bekerja keras siang dan malam.

“Tetapi sasaran peribadi saya adalah untuk membantu skuad ini meraih pingat emas. Ini kerana  saya tidak boleh fikir untuk meletakkan sasaran pingat gangsa. Jika saya fikir ke arah itu, pasti saya akan kalah,” katanya ketika ditemui sewaktu lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt di di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tamer turut menegaskan selain misi di Sukan Asia, mereka juga perlu memberi tumpuan untuk melakukan kejutan pada Kejohanan Dunia Karate di Budapest bermula 24 sehingga 29 Oktober depan.

“Untuk sekarang, fokus saya adalah Sukan Asia dan kemudian Kejohanan Dunia. Saya rasa negara anda melantik saya adalah untuk memastikan Malaysia memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia dan kami akan bekerja keras ke arah itu,” ujarnya.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad sebelum ini menyatakan badan induk itu meletakkan sasaran satu emas pada temasya di Hangzhou. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI