KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Menerusi kenyataan PDRM hari ini, ketibaan Affendi turut disambut oleh barisan pengarah dan timbalan pengarah PDRM sebelum ke sesi bergambar serta menandatangani buku pelawat.
Jelasnya, kunjungan hormat tersebut merupakan pertemuan perpisahan Affendi bersama pucuk pimpinan PDRM kerana bakal meninggalkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah berbakti selama 43 tahun.
Dalam majlis yang sama, Affendi turut diberi penghormatan untuk memeriksa kawalan kehormatan yang diketuai oleh Deputi Superintendan Zulfadhli Zulkefli dengan kekuatan tiga pegawai dan 102 anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan.
Hadir sama, barisan Ketua Urus Setia KPN, barisan Pegawai Kanan PDRM dan ATM.
Pada 2 Januari 2020, Affendi dilantik sebagai PAT ke-21 menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Perlantikan Affendi sebagai PAT ke-21 itu adalah Panglima Tentera Udara (PTU) yang kedua dilantik ke jawatan berkenaan selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin memegang jawatan sebagai PAT ke-17 pada 1 September 2009 hingga 14 Jun 2011.
Affendi seterusnya juga dijadualkan akan membuat kunjungan hormat perpisahan bersama beberapa Pegawai Tertinggi Kerajaan yang lain sebelum menjalani cuti persaraan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE