PETALING JAYA – “Jangan mudah berkeras dengan pendapat sendiri, banyakkan berbincang.”
Demikian antara pesanan ibu kepada Shila Amzah, Datin Fauziah Sarman kepada bakal menantunya, Ubai yang bakal bergelar suami kepada anak perempuannya esok.
Pesan Fauziah, Ubai perlu bersedia menghadapi setiap perkara dalam kehidupan rumah tangga yang sememangnya amat berbeza ketika berstatus bujang.
“Hidup berumah tangga tidak sama semasa zaman bujang. Setiap perkara perlu dikongsi.
“Ranjau, onak dan duri perlu diharungi bersama.
“Banyakkan bersabar dan bertenang dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi Datuk ND Lala itu juga berharap Ubai atau nama penuhnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, tidak sesekali lari daripada sebarang masalah yang mungkin timbul dalam rumah tangganya kelak.
“Jangan lari-lari. Mak doakan yang baik-baik untuk anak-anak. Semoga Allah SWT memberkati kalian berdua dalam kebaikan dan dilimpahkan rezeki,” katanya lagi.
Esok, Shila dan Ubai dilaporkan bakal bernikah di sebuah hotel di ibu negara.
Pada Ahad lalu, Ubai menerima khabar duka apabila ibu tercinta, Rohani Jamal disahkan meninggal dunia akibat kanser.
Meskipun begitu, arwah ibunya berpesan agar majlis pernikahan yang sudah dirancangan tetap diteruskan walau apapun yang berlaku.
Pada 27 Mei lalu, Shila dan Ubai mengikat tali pertunangan dalam sebuah majli tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat.
Shila sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE