ALOR SETAR – Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperbetulkan kenyataannya berkaitan isu unsur nadir bumi (REE) dengan perbadanan itu.
MBI Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini turut meminta Saifuddin supaya berhenti menyebarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung perkara tersebut.
“Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak Senator Datuk Seri Saifuddin, MBI Kedah akan menyerahkan perkara ini kepada proses perundangan selanjutnya,” katanya.
Kata kenyataan itu, terdapat penularan video di media sosial melalui platform TikTok dan Facebook berhubung kenyataan dibuat Saifuddin mengenai REE dan MBI Kedah, baru-baru ini.
“Lanjutan daripada itu, MBI Kedah telah membuat penelitian terhadap klip-klip video tersebut dan terdapat dakwaan serta kenyataan yang mengelirukan,” ujarnya.
Menurutnya, kenyataan tersebut adalah mendakwa Pengerusi MBI Kedah dikenakan kompaun RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong, Sik dan melabel Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai pencuri.
“Kenyataan yang benar adalah menurut rekod MBI Kedah, surat tersebut dikeluarkan oleh PTG kepada MBI dan pihak Ho Chung Meng. Surat tersebut dialamatkan kepada MBI Kedah kerana MBI Kedah adalah pemegang lesen ladang hutan yang sah.
“Manakala kepada pihak Ho Chung Meng kerana beliau adalah orang yang telah mengakui kesalahan mencuri dan telah membayar denda. Tidak ada nama Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kedah seperti yang disebut Saifuddin,” jelasnya.
Katanya, kenyataan lain adalah menyatakan warganegara China, Huang Zhi Yi yang ditangkap bekerja dengan MBI.
“Huang Zhi Yi bukan pekerja MBI Kedah. Proses pengambilan pekerja di MBI Kedah adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) MBI Kedah. Pemohon perlu melalui temuduga dan pemeriksaan kesihatan sebelum tawaran pekerjaan dikeluarkan.
“Tiada surat tawaran pekerjaan dikeluarkan kepada Huang Zhi Yi sehingga kini. Oleh itu, MBI Kedah menafikan Huang Zhi Yi sebagai pekerja MBI Kedah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE