fbpx

PRN: Guna DAP momok pengundi Melayu bukti Pas kering modal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (hadapan, tiga dari kiri) beramah mesra dengan penduduk di Kampung Cina, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas bagaikan kekeringan modal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ini apabila asyik memomokkan pengundi kononnya DAP mengancam kedudukan orang Melayu.

Setiausaha DAP, Anthony Loke berkata, dakyah Pas itu tidak berasas dan sekadar mahu menakut-nakutkan pengundi Melayu untuk meraih undi pada PRN ini.

Beliau berkata, tiada satu pun isu menyentuh kepentingan orang Melayu telah diusik sejak kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai parti itu ditubuhkan lebih sembilan bulan lalu.

“Tidak timbul soal kalau DAP ada dalam kerajaan, kedudukan orang Melayu terhakis. DAP hanya ada empat Menteri dalam kerajaan dan semua keputusan dibuat Kabinet secara bersama.

“DAP pun ada (ahli) orang Melayu juga. Apa yang kita perjuangkan adalah demi kebaikan Malaysia bersama,” katanya pada program Ramah Mesra bersama pengundi Parlimen Kuala Terengganu di Kampung Cina di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anthony Loke berharap pengundi di enam negeri terbabit tidak termakan dengan dakwaan tidak berasas terbabit.

Tambah beliau, kesungguhan PN khususnya Pas memainkan isu tersebut menunjukkan parti itu seolah-olah tiada idea dan agenda pembangunan untuk rakyat sekiranya memenangi PRN.

“Saya yakin rakyat tahu PRN di enam negeri ini tidak menentukan (kedudukan) kerajaan Pusat. Apa yang penting kerajaan negeri yang mahu dibentuk nanti sebaiknya sama-sama sehaluan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI