PETALING JAYA – Kerajaan meletakkan sasaran baharu sebanyak 150,000 pelajar mendaftar menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk wanita @JELITA sebelum tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran 15,000 pelajar yang ditetapkan sebelum ini hanya suatu jumlah kecil apabila program ini dilihat mempunyai permintaan tinggi.
“Biarpun pengurusan mensasarkan 15,000 pelajar-pelajar yang akan mendaftar dengan TVET khas wanita ini, tetapi permohonan setakat ini telah mencapai 7,000.
“Ertinya jumlah yang disasarkan terlalu kecil. Saya telah meletakkan sasaran baharu seramai 150,000 pelajar. Tempoh mencapai sasaran ini saya fikir elok sebelum tahun 2026.
“Jika sasaran ini telah dicapai seawal tahun 2025 sekali pun, maka saya yakin matlamat itu harus ditambahkan kerana permintaan kepada guna tenaga wanita yang berkemahiran sangat-sangat tinggi, namun mereka tidak dapat latihan mengikut bidang-bidang yang menjadi permintaan kepada industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perlancaran TVET Wanita@JELITA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berharap program TVET khas untuk wanita ini bukan sekadar indah khabar dari rupa, namun berjaya membantu meningkatkan guna tenaga dalam kalangan wanita.
Beliau juga menyifatkan program pendidikan yang berfokuskan kepada kumpulan wanita ini bakal memberi peluang keemasan untuk mengembangkan bakat, kemahiran, keterampilan serta pengetahuan untuk perjalanan karier golongan wanita. – KOSMO! ONLINE