fbpx

TVET semakin jadi rebutan utama pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program latihan teknikal dan vokasional (TVET) menjadi rebutan pelajar negara ini terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET telah mencetuskan satu fenomena positif dalam kalangan pelajar dan ibu bapa dengan menjadikan pendidikan kemahiran sebagai pilihan kerjaya mereka.

“Dahulu, jika dengar perkataan TVET ia bukanlah pilihan utama. Tetapi kini, pilihan untuk mendapatkan pendidikan TVET menjadi semakin popular dalam kalangan pelajar.

“Semakin ramai pelajar sedar pendidikan vokasional dan teknikal bukan saja memberikan mereka kemahiran yang berguna dalam sektor pekerjaan, malah memberi peluang untuk memperoleh pendapatan lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perlancaran TVET Wanita@Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, bagi pengambilan pelajar tahun ini, institusi TVET di seluruh Malaysia mencatatkan kenaikan mendadak bagi kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan.

“Perubahan trend ini adalah disebabkan masyarakat sudah melihat pendidikan aliran TVET dapat memberi jaminan masa hadapan yang lebih baik.

“Senario ini juga bermakna bahawa lulusan pendidikan vokasional dan teknikal kini mempunyai peluang pekerjaan yang setara dengan lulusan pendidikan formal.

“Kebolehpasaran yang tinggi bagi lulusan TVET menunjukkan kemahiran yang dipelajari dalam pendidikan ini sangat dihargai di pasaran pekerjaan. Semakin ramai syarikat dan majikan sedar akan kepentingan pekerja yang memiliki kemahiran teknikal yang berkualiti,” ujarnya.

Tambah beliau, TVET bukan lagi pendidikan pilihan kedua atau kelas kedua malah ia dilihat sudah menjadi aliran penting dalam menyediakan para graduan ke pasaran pekerjaan bagi menyeimbangkan keperluan dan permintaan industri.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebahagian besar pelajar cemerlang SPM memilih bidang kemahiran sebagai kerjaya berbanding profesion lain.

Rata-rata mereka yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 5A mengakui bidang kemahiran seperti kimpalan, elektrik dan elektronik lebih menjanjikan kerjaya masa depan berbanding bidang lain yang hanya bersandarkan populariti, trend dan ikutan semata-mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI