BEIJING – Orang ramai berpusu-pusu mengunjungi sebuah zoo di timur China untuk melihat sendiri seekor beruang matahari yang didakwa sebenarnya manusia memakai kostum, lapor laman berita MailOnline semalam.
Zoo Hangzhou merekodkan peningkatan 30 peratus dari segi jumlah pelawat apabila ia dikunjungi lebih 20,000 pengunjung sehari sejak video memaparkan aksi beruang itu tular Ahad lalu.
Spekulasi tersebut tercetus selepas beruang matahari bernama Angela itu dirakam berdiri meminta makanan, namun sudut pandangan kamera memaparkan lipatan kulit bahagian belakangnya yang kelihatan seperti manusia memakai kostum.
Pihak zoo segera menafikan dakwaan beruang itu adalah palsu, serta menegaskan bahawa penipuan sedemikian tidak akan berlaku di sebuah zoo milik kerajaan.
Gambar terbaharu di zoo itu menunjukkan ramai pelawat berkumpul untuk melihat Angela ketika ia berjalan di sekitar kandangnya sambil mengunyah snek campuran buah-buahan dan sayuran.
Salah seorang pengunjung, Qian Ming berkata, dia mengembara sejauh 241 kilometer dengan menaiki kereta api dari Suzhou untuk melihat beruang itu.
Seorang lagi pelawat, You berkata: “Selepas melihat beruang itu berdiri di internet, saya ingin melihat bagaimana rupanya yang sebenar, jadi saya datang ke sini.” – Agensi