SERDANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu Acacia Diana, seorang jurugambar yang trauma setelah menjadi mangsa hendap selama 8 tahun oleh seorang lelaki tempatan.
Menurut menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci yang merangkumi siasatan serta kronologi kejadian.
“Kami ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut, namun laporan yang terperinci masih belum diterima.
Setelah kami terima laporan lengkap, kami akan cuba membantu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) Mardi, Serdang..
Tegas Nancy, sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual atau jenayah intip dan hendap, jangan takut untuk membuat laporan polis secepat mungkin.
“Pertama sekali, sekiranya anda menjadi mangsa ‘stalker’, buat laporan polis serta merta kerana laporan ini akan dijadikan bukti sekiranya mangsa ingin mendapatkan khidmat guaman atau sekiranya mangsa ingin mengambil tindakan lanjut terhadap pelaku.
“Bagaimanapun, untuk penjawat awam, mungkin ada beberapa prosedur atau SOP yang perlu dipatuhi. Tetapi, apa yang penting, buat laporan polis terlebih dahulu,” jelas Nancy.
Tambah Nancy, bagi mangsa gangguan seksual atau jenayah intip dan hendap, pihak KPWKM sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan memberikan khidmat kaunseling.
“Khidmat kaunseling kepada mangsa merupakan satu perkara yang sering dilakukan oleh pihak KPWKM untuk memastikan mangsa dapat mengurus trauma dan berfikir dengan jelas.
“Kami juga akan memberi pelbagai lagi sokongan kepada mangsa. Bagaimanapun, kami akan cuba membantu setelah kami menerima laporan yang lengkap,” ujarnya.
Terdahulu, Acacia telah mendedahkan bahawa dia telah dihendap oleh seorang lelaki selama 8 tahun. Pendedahan tersebut dibuat oleh Acacia sendiri di laman Twitter peribadinya beserta pelbagai bukti termasuklah tangkap layar mesej serta gambar yang pernah dihantar oleh lelaki terbabit. – KOSMO! ONLINE