AMPANG – Dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes kecurian motosikal sekitar daerah ini ditahan di tiga lokasi berasingan, kelmarin.
Tangkapan pada pukul 7.30 petang itu dilakukan di Seremban, Negeri Sembilan, Rawang, Selangor, dan Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail, berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan motosikal jenis Yamaha 125 di Jalan Pandan Indah 3/3, di sini, 25 Jun lalu.
Katanya, perkara tersebut disedari bapa mangsa sebulan kemudian apabila diberitahu bahawa motosikalnya telah tiada dan disyaki telah dicuri.
“Ekoran laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang telah menahan seorang lelaki warga asing dan dua orang lelaki tempatan berusia 26 hingga 35 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.
“Kesemua yang ditahan tidak bekerja. Suspek pertama dan kedua tiada rekod jenayah manakala suspek ketiga mempunyai lima rekod jenayah narkotik dan satu rekod dikehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini,” katanya, dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek aktif melakukan pecah rumah dan curi motosikal dalam daerah Ampang dan sekitar Kuala Lumpur.
Kata Azam, pihaknya turut merampas beberapa barang kes dan menjumpai semula rangka motosikal yang hilang.
“Dirampas tiga motosikal masih dilaporkan hilang dalam daerah Ampang dan Kuala Lumpur, komponen motosikal, lima utas jam tangan , bekas mengandungi alat perhiasan, set cover motosikal, dan tiga buah telefon bimbit.
Tambah beliau, permohonan reman ke atas ketiga-tiga suspek dibenarkan Majistret Ampang selama empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini.
“Kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.