LOS ANGELES, California – Pengguna YouTube di banyak kawasan di seluruh dunia mengalami masalah untuk menonton dan memuat naik klip video di laman popular tersebut selama sejam kelmarin, lapor laman digital Variety.
Pihak pengurusan laman perkongsian video itu mengesahkan masalah teknikal tersebut di laman TeamYouTube.
“Sekiranya anda sukar menonton klip video di YouTube sekarang ini, anda tidak keseorangan. Pasukan kami mengambil maklum masalah ini dan sedang berusaha membaikinya. Kami akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini di sini,” kata pengurusan YouTube pada pukul 7.23 petang zon waktu timur Amerika Syarikat (ET).
Menurut laman pemantauan DownDetector, aduan pengguna tentang masalah tersebut mula melonjak sekitar pukul 7 petang ET.
Masalah itu paling serius di timur laut Amerika Syarikat, Britain, Eropah Barat, Mexico, Australia dan Amerika Selatan. Sekitar 95 peratus aduan yang diterima adalah tidak dapat menonton video YouTube.
Masalah siaran terputus yang berlarutan jarang berlaku pada YouTube. Laman perkongsian video itu dikunjungi lebih 2 bilion pengguna sebulan dan menstrim lebih 1 bilion video pada setiap hari. – gensi