JITRA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti untuk mendedahkan kepincangan berkaitan unsur nadir bumi (REE) yang menjadi aset rakyat negeri ini.
Katanya, beliau juga mempunyai ‘peluru’ untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
“Kalau setakat peluru besar itu, suruh sembanglah. Saya pun ada peluru juga, peluru saya pun besar juga. Dia kata dia ada, saya pun ada okey? Jangan fikir habis dekat sini, belum habis lagi.
“Dia pun tahu apa yang saya ada, pasti tahu saya sangat sahih. Berbeza pendedahan saya, saya tunjuk rekod syarikat, gambar dan semua bukti itu berbanding dengan yang dia sebut itu, tunjuklah semua,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, di sini hari ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pendedahannya berhubung kaitan Muhammad Sanusi dengan individu warga China, So Loi Fat adalah berdasarkan bukti-bukti surat dan gambar yang dimilikinya.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tidak gentar dengan kenyataan Menteri Besar tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Dataran Darul Aman, di sini malam tadi mengajak Saifuddin ‘menutup’ perdebatan antara mereka berhubung isu REE atau beliau akan mengeluarkan ‘bom atom’ untuk Menteri Dalam Negeri itu. – KOSMO! ONLINE