SINGAPURA – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengkritik prestasi hambar yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas tewas 3-4 pada aksi pramusim menentang Bayern Munich di Stadium Nasional Singapura kelmarin.
Pada saingan itu, skuad Bayern meraih gol menerusi Frans Kratzig, Serge Gnabry, Leroy Sane dan Josip Stanisic, manakala The Reds pula mendapatkan gol hasil ledakan Cody Gakpo, Virgil van Dijk serta Luis Diaz.
Namun, Klopp mengakui aspek pertahanan yang lemah sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan menjelang aksi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan bermula 12 Ogos depan.
“Kami telah melakukan beberapa kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan terutama menerusi gandingan Trent Alexander Arnold dan Joe Gomez. Situasi sama berulang apabila kami masukkan Joel Matip serta Ibrahima Konate.
“Perkara ini sudah tentu merisaukan saya terutama apabila saingan liga akan bermula tidak lama lagi. Saya harap pemain perlu lebih fokus di atas padang kerana ia bukan melibatkan kepantasan, sebaliknya kepintaran mengawal perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Klopp mengesahkan pemain tengah baharu pasukan, Alexis Mac Allister mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama.
“Dia diterjah pada babak pertama dan ketika waktu rehat, dia mengadu kesakitan di bahagian kaki, tetapi tidak serius dan masih boleh beraksi. Namun, saya enggan mengambil risiko dan menggantikannya apabila separuh masa kedua bermula,” katanya. – AGENSI