MANCHESTER – Juara Eropah, Manchester City semakin hampir untuk mengumumkan tonggak pertahanan Croatia, Josko Gvardiol sebagai bintang baharu pasukan itu.
Ia selepas jaguh Jerman, RB Leipzig akhirnya bersetuju dengan tawaran harga dikemukakan City bernilai £77 juta (RM445.89 juta) tidak termasuk beberapa bayaran bonus.
Urusan tersebut dilihat berpotensi memintas rekod pemain pertahanan British berjumlah £80 juta (RM463.26 juta) ketika Manchester United membeli Harry Maguire daripada Leicester City pada 2019.
Kehadiran Gvardiol, 21, mampu menguatkan lagi benteng pertahanan City yang sememangnya sudah utuh berdasarkan kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Pengurus City, Pep Guardiola mahu meletakkan Gvardiol sebagai pertahanan tengah di sebelah kiri dan memberikan saingan kepada tiga lagi pemain sedia ada iaitu Ruben Dias, Manuel Akanji dan Nathan Ake.
Gvardiol bakal menjadi pembelian kedua City selepas rakan senegaranya, Mateo Kovacic dibeli dengan harga £25 juta (RM144.77 juta) daripada Chelsea bulan lalu menggantikan tempat Ilkay Gundogan ke Barcelona.
Walaupun baru berusia 21 tahun tetapi Gvardiol pernah memenangi pelbagai kejuaraan ketika bersama Dinamo Zagreb sebelum menyertai Leipzig menerusi yuran perpindahan bernilai £14 juta (RM81.07 juta) pada 2021.
Malah, Gvardiol turut berjaya meletakkan namanya sebagai watak penting Croatia ketika membantu negara meraih tempat ketiga Piala Dunia Qatar 2022 dan muncul naib juara Liga Negara-Negara Eropah tahun ini. – AGENSI