fbpx

Zulkifli puji peranan Noor Hisham perangi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Justeru, katanya, Ketua Pengarah Kesihatan itu perlu terus bersemangat dan terus berjuang bersama-sama barisan hadapan demi maslahah negara.

“Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang.

“Saya terdetik untuk mengulas ringkas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang menyatakan Dr. Noor Hisham sebagai ‘takut mati’.

“Saya amat berharap, itu bukan maksud sebenar beliau. Mungkin ada penjelasan lanjut daripada beliau,” katanya menerusi perkongsian di laman sosialnya semalam.

Katanya, Noor Hisham sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau.

Malah, katanya, jawapan Noor Hisham terhadap kenyataan tersebut pada sesi sidang akhbar petang semalam sudah padat dan memadai.

Zulkifli turut berkongsi kisah dan teladan yang boleh diambil iktibar menerusi kisah peperangan disertai sahabat Rasulullah, Abu Ayub ketika berhadapan tentera Rom yang ramai.

Menurutnya, kisah peperangan itu sentiasa tersemat di hati dan menjadi pegangan hidupnya.

“Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan negara, kita tidak akan berundur.

“Saya percaya, itulah semangat dibawa Noor Hisham dan seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu ‘takut mati’,” katanya.

Beliau berkata, konsep kematian dalam Islam amat mudah yang mana umat Islam yakin kematian akan menjengah pada bila-bila masa.

“Hanya Allah yang hidup kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.

“Apa yang kami risau dan takutkan adalah, adakah amalan kami cukup untuk menjadi bekalan bertemu Pencipta kita semua di alam sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI