PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor adalah pada 9 September depan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Ogos manakala undi awal pada 5 September ini.
Katanya, sejumlah 166,653 pemilih terlibat bagi PRK Parlimen Pulai manakala seramai 40,379 bagi DUN Simpang Jeram membabitkan peruntukan berjumlah RM6 juta.
“Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu lima penolong pegawai pengurus untuk Parlimen Pulai dan seorang pegawai pengurus dan tiga penolong pegawai pengurus.
“SPR menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding untuk parlimen dan DUN berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE