JITRA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengajak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya ‘menutup’ perdebatan antara mereka berhubung isu unsur nadir bumi (REE).
Menurut beliau, Saifuddin menjadikan isu itu sebagai modal pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan melakukan serangan terhadapnya.
“Cerita (REE) malam ini kita tutup Pudin (Saifuddin), jadilah. Hang habis dah modal, tetapi aku ada satu lagi (isu), kalau hang keluarkan (apa-apa) esok, aku balun yang itu hang kena kunci.
“Jadi jangan sampai saya keluarkan ‘bom atom’ itu, kalau aku keluarkan, hang punya muka kalih kat belakang,” katanya ketika berucap ketika Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Dataran Darul Aman, di sini malam tadi.
Menurutnya, beliau juga boleh mendedahkan lokasi pejabat milik seorang usahawan Indonesia yang sebelum ini didakwanya pernah hadir ke negeri itu bersama seseorang untuk memohon tanah bagi melombong REE di Kedah.
“Ini ‘last’ (terakhir) punya. Kalau esok dia (Saifuddin) bercakap lagi, saya nak tunjuk pejabat (milik usahawan Indonesia),” ujarnya.
Terdahulu Saifuddin memberitahu bahawa beliau akan mengemukakan bukti-bukti baharu mengenai kecurian REE di Bukit Enggang, Sik pada sidang akhbar di Jitra, hari ini. – KOSMO! ONLINE