fbpx

Sakit tekak, mual hidu bau pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SESI persekolahan SK Sungai Tiram berjalan seperti biasa semalam selepas insiden pencemaran bau pada Selasa lalu.

JOHOR BAHRU – Kejadian pencemaran bau seakan bau bahan kimia di Kampung Sungai Tiram, di sini, kelmarin sehingga menyebabkan murid, guru pe­ning dan muntah-muntah me­ngundang resah kepada kira-kira 1,500 penduduk di kawasan itu.

Rata-rata mereka mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan punca kejadian dapat dikenalpasti agar tidak berulang.

Seorang penduduk, Mohd. Rahmat Katni, 36, berkata, bau kurang menyenangkan itu yang seakan-akan bau najis mula dikesan sejak pukul 2.15 petang, Selasa lalu dan semakin lama semakin kuat sehingga membuatkan dia terasa pening.

“Bau itu semakin lama sema­kin busuk dan seakan bau najis dan bahan kimia. Oleh kerana baunya terlalu kuat, saya minta isteri pulang ke rumah khuatir dia pening dan mual.

“Bagaimanapun bau itu mula hilang kira-kira pukul 4.30 petang. Saya meronda keliling kampung mengesan bau itu tetapi tak jumpa puncanya,” katanya yang berniaga santan segar.
Selasa lalu, seramai 24 murid, dua guru, dua pembantu kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, di sini mengalami muntah-muntah dan pening dipercayai akibat terhidu bau pencemaran yang disifatkan amat kuat dan busuk.

Susulan itu, sesi persekolahan ditamatkan lebih awal.


PASUKAN Hazmat melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kilang di Ulu Tiram, Johor Bahru ekoran berlakunya pencemaran bau.

Sementara itu, Norhafizah Mohamed, 41, berkata, dia me­ngetahui mengenai kejadian itu setelah dihubungi anaknya yang meminta menjemputnya pulang.

“Syukur, tindakan pantas guru mengumpulkan murid di dewan sekolah mengelakkan lebih ramai terkesan. Murid juga dibekalkan pelitup muka elak terhidu udara yang tercemar,” ujarnya.

Roslan Ibrahim, 63, berkata, mereka kini trauma dan bimbang kejadian tersebut berulang semula dan insiden berkenaan adalah kali pertama berlaku sepanjang 40 tahun dia menetap di kampung tersebut.

“Saya sendiri sakit tekak dan rasa mual ketika terhidu bau pencemaran itu sehingga terpaksa memakai pelitup muka namun bau itu masih kuat.

“Hari ini (semalam) tiada lagi bau. Namun kejadian ini menyebabkan penduduk teringat insiden pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang yang menjejaskan ramai pelajar dan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pengesanan bacaan methyl mercaptan yang dikesan di lokasi berhampiran tidak boleh dikategorikan sebagai punca pencemaran bau itu.

“Selagi JAS tidak dapat me­ngenal pasti bau itu, kita tidak boleh membuat rumusan bahawa methyl mercaptan adalah punca sebenar, kerana bacaan dibuat selepas kejadian itu berlaku. Boleh jadi bacaan sudah lama berada di situ.

“Pegawai penyiasat juga telah menerbangkan dron di lokasi berhampiran dan tidak menemui tapak buangan pelupusan haram atau sisa terjadual di kawasan ini,” ujarnya.

Mohd. Famey berkata, pegawai penyiasat juga telah menjalankan pemeriksaan di kilang-kilang berhampiran yang disyaki punca pencemaran bau tersebut namun tidak membuahkan hasil.

“Pemantauan udara yang dilakukan tidak nampak kesan pelupusan haram dan semua premis kita syaki telah diperiksa, namun ia bukan berpunca dari premis tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI