KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Skuasy Raket Kebangsaan (SRAM), Gerard Monteiro tidak merasakan ketiadaan Ng Eain Yow dan S. Sivasangari menyebabkan Kejohanan Skuasy Kebangsaan SRAM WCE kehilangan serinya.
Sebaliknya, Monteiro percaya ketiadaan dua juara bertahan itu membuka peluang kepada pemain-pemain lelaki dan wanita yang lain menunjukkan prestasi terbaik mereka pada kejohanan itu.
Eain Yow dan Sivasangari tidak beraksi pada saingan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil bermula hari ini hingga 6 Ogos ini kerana sedang melakukan persiapan di luar negara.
“Eain Yow dan Sivasangari sedang bersiap untuk kejohanan di Chicago, Amerika Syarikat yang merupakan langkan persediaan mereka ke Sukan Asia Hangzhou di China (pada September depan).
“Namun, kita masih ada ramai pemain yang bagus seperti Ivan Yuen, Syafiq Kamal dan Addeen Idrakie selain pemain wanita antaranya Rachel Arnold, Aira Azman serta Ainaa Amani.
“Saya tidak katakan tiada Eain Yow dan Sivasangari adalah negatif kerana ia juga memberi peluang kepada mereka untuk menyinar kerana ini adalah antara persediaan ke Sukan Asia Hangzhou nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penajaan antara Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan SRAM di Pusat Skuasy Nasional hari ini.
Selain menjadi penaja utama, WCE turut menaja SRAM Squash League, Masters, Squash57 dan Jumbo Doubles serta Malam Penghargaan SRAM 2024.
Selain Eain Yow dan Sivasangari, seorang lagi bintang skuasy wanita, Aifa Azman juga terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan itu pada saat-saat akhir. – KOSMO! ONLINE