KOTA TINGGI – Polis Kota Tinggi berjaya menyelesaikan kes kecurian bernilai RM400,000 dalam tempoh 31 jam selepas tertangkapnya seorang suspek warga tempatan di Segamat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pada pukul 11.10 pagi kelmarin, Balai Polis Pengerang telah terima laporan polis berkaitan kehilangan besi scaffolding tube dan Genset milik Syarikat Dominati Energy Sdn. Bhd di Gudang Lot Lepau Plantar, Pengerang.
“Bertindak atas maklumat, pukul 5.00 petang semalam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an di Pekan Jabi, Segamat.
“Ekoran tangkapan ke atas suspek, pihak polis telah berjaya menemui semula kesemua barang yang hilang serta disembunyikan di kawasan hutan Jalan Sungai Pulai, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussin berkata, suspek yang memiliki dua rekod jenayah lampau ditahan reman selama tiga hari sehingga 4 Ogos ini untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE