fbpx

K2

Melawat kota lama Lebanon dan Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penulis berdiri di depan pintu lama di kota Damascus, Syria manakala gambar kanan Lady of Lebanon yang merupakan salah satu lokasi tumpuan pelancong.

DENGAN satu transit di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari Lapangan Terbang Antarabangs Kuala Lumpur, saya bersama suami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut bagi memulakan pengembaraan kami di bumi Syria dan Lebanon.

Setelah berehat semalaman di Beirut, kami bertolak ke ibu kota Syria, Damsyik atau Damascus yang mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Kami menempuhi 13 checkpoint tanpa perlu turun dari kereta sebelum sampai ke kota yang terkenal sebagai pusat kebudayaan dan perdagangan pada satu ketika dahulu.

Setiba di kota tersebut, kenderaan yang kami naiki tidak dibenarkan masuk. Oleh itu, kami terpaksa ‘menapak’ melalui lorong-lorong kecil dan berbatu untuk ke bilik hotel. Di kejiranan bangunan lama penuh nostalgia tersebut, komuniti Muslim, Kristian dan Yahudi hidup dalam keadaan harmoni tanpa konflik.

Apabila tiba di hotel, kami sungguh terkejut melihat keadaan hotel yang megah ibarat sebuah istana.

Setelah rehat selama satu jam, kami dibawa menjelajah sekitar kota Damascus dengan berjalan kaki.

Di sini juga terletaknya Masjid Umayyad iaitu masjid tertua dan terbesar di Syria.

Menurut penganut agama Kristian, mereka mengatakan inilah tempat pemakaman John the Baptist, manakala bagi Muslim ia lokasi Nabi Isa dikatakan akan turun menjelang kiamat.

Penulis (dua dari kiri) bergambar bersama beberapa remaja di Syria.

Saya terpesona melihat kedudukan masjid, synagogue (rumah ibadat orang Yahudi) dan gereja terletak di kawasan sama.

Pada hari kedua, kami melawat Maaloula dan Saydnaya. Maaloula adalah sebuah kampung yang masih menggunakan bahasa Aramaic.

Semasa menaiki bukit ke perkampungan itu, kami dapati kebanyakan rumah-rumah dibina atas bukit terbiar, memiliki bekas tembakan dan sebahagiannya sudah runtuh.

Sungguhpun begitu, tempat ini sangat cantik dengan rumah batu berwarna seakan ketulan emas yang sesuai untuk bergambar.

Memasuki hari ketiga, kami dibawa ke Krak des chevaliers (istana kesatria) yang dibina pada 1031 oleh tentera salib, sebelum jatuh ke tangan Sultan Mamluk Baybars pada 1271.

Menariknya, struktur kubu itu masih utuh, walaupun sedikit terjejas semasa peperangan saudara di Syria.

Setelah itu, kami ke bandar Hama yang terletak di Sungai Orontes. Bandar ini terkenal dengan kincir air taman bunga Noria yang dipercayai wujud sejak abad ke-14. Pada hari kelima, kami diberi kebebasan untuk berjalan sekitar souk (pasar Arab) sebelum berangkat ke Beirut.

Pada hari berikutnya, kami melawat Istana Beiteddine yang dibina pada 1788 oleh Sultan Emir Bashir Shihab II dan digunakan oleh Empayar Uthmaniyah sebagai pusat pemerintahan sewaktu era penjajahan mereka.

Kami kemudian ke bandar Deir El Qamar iaitu bandar di atas Gunung Lebanon yang memiliki seni bina masjid, synagogue dan gereja yang indah.

Di sini terdapat juga pendududuk beragama Druze iaitu agama monoteisme dengan gabungan elemen Islam, Yahudi, Kristian, falsafah Yunani dan Hindu.

Pada hari ketujuh, kami ke Jeita Grotto. Saya sangat teruja melihat gua yang penuh dengan stalaktit dan di bawahnya tasik berwarna ‘turquoise’.

Kemudian, kami berangkat ke sebuah bukit yang menempatkan patung Lady Harissa atau Lady of Lebanon.

Dari situ, kami turun ke bandar Byblos dengan menaiki kereta kabel. Pemandangan Laut Mediterranean yang berwarna biru cukup mendamaikan mata memandang.

Pada hari kelapan, kami ke bandar Aanjar dan Baalbek yang menempatkan bangunan bersejarah. Keesokannya, kami melawat pokok cedars yang hidup sampai 1,500 tahun dan dianggap suci bagi penduduk di Bcharre.

Seterusnya, kami ke Qadisha Valley atau wadi iaitu sebuah kawasan warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Hari seterusnya, kami membuat keputusan menikmati makanan tradisional Lebanon di sebuah restoran atas tasik.

Pada hari terakhir, kami sempat membeli-belah di kota Beirut sebelum pulang ke Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI