TOKYO – Seramai 2,153 individu di Jepun membunuh diri pada bulan lalu iaitu peningkatan 614 orang berbanding tahun sebelum ini, menurut data Agensi Polis Kebangsaan kelmarin.
Kadar kes bunuh diri itu adalah tertinggi dalam tempoh lima tahun selepas mencatat kenaikan empat bulan secara berturut-turut, bermula Julai 2020.
Pertubuhan Penyiaran Jepun (NHK) melaporkan, seramai 1,302 lelaki dan 851 wanita dilaporkan membunuh diri pada bulan lalu.
Jumlah kes bunuh diri terkumpul di Jepun bagi tempoh Januari lalu hingga Oktober 2020 adalah seramai 17,219 orang, naik 160 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pertubuhan bukan kerajaan di Jepun dan beberapa pihak lain mendakwa krisis pandemik Covid-19 yang menjejaskan pekerjaan dan kehidupan rakyat dilihat sebagai antara punca utama peningkatan kes bunuh diri.
Golongan wanita dikatakan paling ramai terjejas dengan koronavirus menyebabkan ramai hilang pekerjaan terutamanya pekerja berstatus tidak tetap dalam bidang peruncitan atau industri perkhidmatan.
Biro Statistik Jepun menunjukkan negara itu mempunyai 126 juta penduduk pada 2019.
Ada laporan mendakwa kes artis Jepun membunuh diri juga mendorong kenaikan bilangan orang bunuh diri di situ.
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun turut menyatakan kehidupan ramai orang terganggu akibat pandemik Covid-19 namun, belum menemui punca sebenar peningkatan kes secara mendadak itu. – Agensi