PETALING JAYA – Dituduh segelintir pihak memberi sebiji kek dan sejambak bunga kepada bekas suanmi, Syamsul Yusof sebagai tanda maaf, pelakon Puteri Sarah Liyana pantas menangkis dakwaan tersebut.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menjelaskan, pemberian berkenaan adalah untuk bekas mentua, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah, bukannya bekas suami.
“Warga Facebook pun mulalah komen kata Sarah macam-macam. Eh hello, lambat lagi. Bunga dan kek itu untuk Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah,” tulisnya dalam Instagram.
Pada masa sama, ibu kepada dua orang cahaya mata itu meminta agar netizen tidak menyebarkan gosip murahan tanpa mengetahui keadaan yang sebenar.
“Tolonglah jangan buat gosip murahan sebab warga Facebook ni aneh-aneh,” luah aktres berusia 38 tahun itu lagi.
Terdahulu, Puteri Sarah telah didakwa menjadi punca sebenar keretakan rumah tangga antaranya dengan Syamsul gara-gara sikap ‘kasar’, bukannya kehadiran Ira sebagai orang ketiga.
Individu terbabit difahamkan bermati-matian membela anak kepada aktor Kazar Saisi itu selepas dia bercakaran dengan netizen gara-gara ‘content’ Instagram miliknya dijadikan topik kecaman netizen.
Puteri Sarah kemudian tampil memberikan komen balas, namun individu sama menyebut tidak kisah jika disaman aktres itu.
Pergaduhan dalam ruangan komen berhenti setelah Puteri Sarah menoktahkan pendapat individu tersebut dengan komen yang agak pedas.
“Rasanya kau yang kalah. Sebab netizen macam kau kan bodoh baca apa yang ada je tak tau cerita sebenar dalam mahkamah tak keluar semua,” tegasnya.
Puteri Sarah Liyana dan Syamsul bercerai pada 14 Jun lalu dengan talak satu selepas melalui proses mahkamah yang panjang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – KOSMO! ONLINE