fbpx

Empat kilang makanan diarah tutup, JKNM jumpa najis tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUAT KUASA JKNM memeriksa botol kaca yang digunakan untuk mengisi sos dan kicap dalam serbuan di sebuah kilang di Melaka.

MELAKA – Empat buah kilang memproses makanan di sini diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari selepas didapati terlalu kotor dengan penemuan najis tikus di dalam premis.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, keadaan tercemar itu dikesan dalam serbuan Operasi Bersepadu Kilang 2023 yang dijalankan selama dua hari sehingga semalam.

Katanya, arahan penutupan itu dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana terdapat najis tikus serta berada dalam tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

“Operasi Bersepadu Kilang 2023 adalah salah satu inisiatif JKNM yang memfokuskan kepada kilang makanan untuk memastikan semua kilang di Negeri Melaka mematuhi undang-undang di bawah Akta Makanan 1983.

“Sebanyak 13 kilang telah diperiksa dan empat daripadanya diarah tutup serta merta-selama dua minggu selepas kita menemui najis tikus di dalam premis pemprosesan itu.

“Selain itu JKNM telah mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM35,200 terhadap premis-premis yang terlibat termasuk kilang dalam kawasan daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga semalam JKNM telah mengambil tindakan tegas ke atas 61 kilang makanan dengan 37 kompaun telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Secara keseluruhan lima kilang telah diarahkan tutup dan kita telah mengenakan kompaun bernilai RM48,400 dalam pemeriksaan yang dilakukan sejak awal tahun ini.

“Sebanyak 12 kilang dikesan melakukan kesalahan di bawah Perkara 9 iaitu premis pengilangan makanan tidak menyediakan atau mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) dan dikenakan kompaun bernilai RM30,000,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai premis pengilangan makanan yang kotor, menjual produk makanan telah tamat tarikh luput dan bungkusan rosak boleh melaporkannya kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau laman sesawang http://moh.spab.gov. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI