KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias mengakui bahawa ahli patut mendapat sedikit akses kepada wang simpanan persaraan mereka dalam suasana ekonomi sekarang, yang disifatkannya sebagai ‘masa kecemasan.’
Beliau bagaimanapun meminta pencarum agar membuat pertimbangan semasak-masaknya selain mengambil kira pilihan yang ada sebelum membuat keputusan yang dikhuatiri berpotensi menjejaskan keselamatan sosial mereka pada masa depan.
Jelas beliau, tindakan mengeluarkan simpanan persaraan sepatutnya langkah terakhir setelah pelbagai pilihan lain, termasuk bantuan yang ditawarkan kerajaan dilihat masih tidak mencukupi.
“Bukan kami cakap jangan keluarkan, tapi jangan buat keputusan yang terburu-buru dan ahli boleh datang berjumpa kami untuk perkhidmatan nasihat persaraan, selain Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.
“Ini duit anda tapi buatlah keputusan yang tepat,” katanya pada sesi bersama media di ibu pejabat KWSP, Jalan Raja Laut semalam.
Isu pengeluaran Akaun 1 KWSP kini menjadi buah mulut dan pandangan popular masyarakat dan menyarankan kerajaan membenarkan kemudahan tersebut pada jumlah lebih banyak berbanding pengumuman Belanjawan 2021 pada kadar RM500 sebulan dengan pengeluaran maksimum RM6,000.
Ramai berpendapat langkah itu mampu memberi kelegaan segera kepada golongan terjejas akibat Covid-19 selain mampu merancakkan lagi ekonomi domestik.
Tunku Alizakri bagaimanapun tidak memberi jawapan kepada persoalan jumlah pengeluaran yang akan dibenarkan, tempoh pengeluaran dan siapa yang layak kerana ia masih belum dimuktamadkan.
Kata beliau, perbincangan masih dilakukan bersama Kementerian Kewangan dan sebaik sahaja keputusan diumumkan, ia tidak boleh ditarik balik.
“Terdapat terlalu banyak input daripada pelbagai pihak, jadi kami mahu mendengar apa yang sedang berlaku.
“Saya sendiri mahu membuat pengumuman secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Alizakri menjelaskan, KWSP berpotensi kehilangan peluang pelaburan yang mungkin hanya muncul sekali seumur hidup, dengan pasaran seluruh dunia kini terpaksa menjual aset mantap dan bernilai tinggi pada harga rendah akibat wabak Covid-19.
Menurutnya, sekarang masa terbaik untuk melabur dan daripada perspektif KWSP, pihaknya berpeluang membeli yang mungkin tidak mampu dibeli sebelum ini.
“Sekiranya kami tiada tunai sekarang, peluang ini mungkin terlepas dan dikhuatiri ia akhirnya akan menjejaskan masa depan ahli untuk memperoleh pulangan yang terbaik,” katanya sambil menjelaskan, KWSP telah mengeluarkan sejumlah RM11 bilion kepada 4.7 juta ahli menerusi kemudahan i-Lestari.