PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat khususnya para pemimpin, menghayati dan meneladani ketokohan negarawan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, dalam membangunkan negara.
Istana Negara dalam kenyataan berkata, selain tiada galang ganti, Seri Paduka Baginda juga menyifatkan Allahyarham sebagai antara tokoh dan figura utama perpaduan negara.
“Seri Paduka Baginda bertitah, Allahyarham memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terutamanya pasca rusuhan dan perbalahan kaum pada tahun 1969.
“Allahyarham sepanjang perkhidmatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah Kabinet negara juga telah mempamerkan sifat-sifat insan unggul berhemah tinggi, berintegriti dan sentiasa bersedia menyumbang demi negara,” kata kenyataan itu.
Justeru, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar jasa serta pengorbanan Allahyarham bukan sahaja menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia malah wajib dicontohi para pemimpin masyarakat dan politik, demi kemakmuran negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan menyambut baik inisiatif kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), mengadakan program pada hari ini bagi memperingati jasa dan bakti Allahyarham sempena sambutan Bulan Kebangsaan, tahun ini.
“Selain memperingati jasa dan memberi penghormatan, ia juga dapat memupuk serta menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan meraka yang beriman dan para solihin,” tambah kenyataan itu.
Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini. Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana. – KOSMO! ONLINE