TOKYO – Seorang terbunuh manakala ratusan ribu yang lain terputus bekalan elektrik di selatan Jepun hari ini ketika Taufan Khanun melanda dan membawa angin kencang serta hujan lebat.
Beratus-ratus penerbangan ke Okinawa serta beberapa pulau di kawasan tersebut turut dibatalkan, yang menyebabkan ribuan pelancong terkandas di sebilangan resort di rantau berkenaan.
Taufan Khanun, yang dikategorikan ‘amat kuat’ oleh agensi cuaca Jepun membawa angin berkelajuan maksimum 180 kilometer sejam.
Syarikat penyedia elektrik Okinawa berkata, 220,580 isi rumah iaitu hampir 35 peratus daripada wilayah itu terputus bekalan elektrik awal hari ini.
Amaran pemindahan turut dikeluarkan di seluruh Okinawa dan bahagian selatan wilayah Kagoshima, memaksa lebih 690,000 penduduk berpindah ke lokasi selamat, demikian menurut Agensi Pengurusan Api dan Bencana.
Tambah agensi tersebut, seramai 11 individu turut cedera ringan dalam taufan tersebut.
“Seorang lelaki berumur lingkungan 90-an meninggal dunia akibat terperangkap di bawah garaj yang runtuh lewat petang Selasa (semalam),” lapr badan penyiaran Jepun, NHK.
Tambah laporan tersebut, lebih 400 penerbangan dibatalkan hari ini yang menjejaskan lebih 65,000 penumpang.
Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut mengeluarkan amaran banjir dan tanah runtuh di sebahagian pulau utama Okinawa.
“Taufan tersebut berada kira-kira 70 kilometer di selatan pulau Kumejima di Okinawa pada pukul 11 malam (waktu tempatan) dan sedang bergerak ke arah barat-barat laut,” kata JMA. – AFP