PETALING JAYA – Terdapat beberapa kes sebelum ini yang mendakwa mereka terkena alahan sehingga hampir hilang nyawa gara-gara makan buah viral iaitu ‘donut peach’.
Kejadian itu dipercayai berlaku akibat sisa bahan beracun yang terdapat pada permukaan kulit buah peach.
Oleh itu, Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan orang ramai supaya membasuh dahulu buah-buahan tersebut sebelum dimakan.
Jelas PHM, tidak perlu gunakan sabun khas, cukup sekadar gunakan air bersih serta gosokkan dengan perlahan dan keringkan pada buah tersebut.
“Tiada bukti menunjukkan keberkesanan sabun khas buah berbanding air biasa. Malah ada kebimbangan sisa sabun boleh melekat pada pori halus kulit buah-buahan.
“Jika anda was was, bolehlah mengupas kulit buah peach dan hanya makan isi kandungan dalamnya sahaja,” kata PHM di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, PHM berkata, dalam kes yang terpencil, terdapat individu mengalami alahan kepada buah peach.
“Jika anda mengalami kegatalan mulut atau tekak selepas makan buah peach, anda mungkin mengalami sindrom alahan mulut (OAS), kadangkala dipanggil sindrom alahan makanan debunga (PFAS).
“Gejala alahan lain termasuklah sakit perut, cirit-birit, loya, muntah, kekejangan perut, gatal-gatal (urtikaria alahan), gatal-gatal, ekzema, semput, hidung tersumbat, sesak nafas dan batuk berulang.
“Dapatkan pemeriksaan segera jika ada gejala alahan,” nasihat PHM. – KOSMO! ONLINE