KUALA NERANG – Gelombang kebangkitan rakyat terutama golongan muda kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini didakwa lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelombang yang ditunjukkan rakyat itu semakin jelas dan bakal diterjemahkan pada 12 Ogos ini.
“Gelombang ini tidak boleh dibendung lagi, pergilah ke mana-mana pun (ada gelombang). Gelombang tsunami ini bukan gelombang hijau (semata-mata) tetapi rakyat bangkit untuk memperteguhkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Ceramah Perdana Gelombang PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu di Pekan Naka, dekat sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Katanya, pada PRU lalu, gelombang kebangkitan rakyat hanya berlaku pada saat akhir, berbeza dengan suasana pada PRN kali ini yang mana ia berlaku lebih awal.
“Pada masa itu (PRU15), kita tak nampak (gelombang) sebab payah nak baca anak muda kerana seramai tujuh juta (pengundi baharu) yang masuk dalam sistem pilihan raya, kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka.
“Dekat pilihan raya baru kita lihat gelombang bersama PN. Berbeza dengan sekarang iaitu dari awal lagi iaitu sebelum hari penamaan calon, gelombang PN berlaku di seluruh enam negeri ini,” ujarnya.
Berdasarkan situasi itu, kata Tuan Ibrahim, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa berada dalam kebimbangan.
“Sebab itu mereka bimbang dan tengok siapa ‘kepala’ (PN), iaitu Sanusi. Sebab itu dia wirid Sanusi, Sanusi. Tidur malam pun mimpi Sanusi.
“Sanusi kita lantik Pengarah Pilihan Raya PN, dia jadi pengarah atau seperti komander tentera. Dia tahu nak bawa dan hadap macam mana serta strategi yang perlu dibuat,” jelasnya.
Tambahnya, sekiranya gelombang itu berterusan di seluruh negara seterusnya memberi kemenangan besar kepada PN, ia akan mengganggu kedudukan PH dalam Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE