KUALA LANGAT – Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang tepat dalam menyelesaikan masalah negara yang gagal ditangani kerajaan terdahulu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut pemimpin Melayu dan Islam sewajarnya mempunyai akhlak yang baik dan imej itu perlu ditonjolkan sebaik mungkin.
“Masalah doktor kontrak, bertahun-tahun ugut mogok tapi kita pegang dua ke empat bulan kita boleh selesai, saya tengok rumah polis teruk saya bagi segera peruntukan, termasuk rumah tentera juga.
“Ini caranya, bukan nak maki Oh Cina nak ambil alih, Cina nak ambil alih kerana kamu b*** dan korup. Kalau pemimpin Melayu itu bersih dia boleh kerja dengan Cina secara baik. Tapi pemimpin Melayu yang korup mahu kayakan anak pinak dia, jahanamlah negara,” katanya ketika berucap sempena Program Kenduri Rakyat di Dewan Putra Kampung Sawah di sini malam tadi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa DAP tidak pernah menghalang sebarang usaha untuk memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan tidak tidak pernah menentang sebarang rancangan berkait Islam dan Melayu termasuk penyelesaian hutang Felda.
“Orang Melayu bermasalah bukan disebabkan kaum Cina, bukan sebab DAP.Jangan temberang, yang menjadi masalah adalah kita iaitu pemimpin Melayu yang kerja tamak haloba, curi duit berbilion dan kemudian bila sudah tidak menjadi perdana menteri minta tolong orang Melayu,” katanya. – KOSMO! ONLINE