fbpx

Lelaki mati terkena lapan das tembakan dalam kebun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian di sebuah kebun di Lot 112, Batu 9, Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu.

SIBU – Seorang lelaki berusia 46 tahun mati ditembak di sebuah kebun di Lot 112, Batu 9, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.23 pagi itu, mangsa meninggal dunia dengan lapan kesan tembakan pada badan.

“Seorang rakan mangsa cedera pada bahagian muka manakala seorang lagi selamat. Mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.55 pagi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama-sama dua rakannya masing-masing berusia 46 dan 36 tahun pergi ke kebun berkenaan pada pukul 9.30 malam untuk makan sebelum beredar kira-kira pukul 11.30 malam.

“Ketika hendak mengunci pintu pagar di kebun berkenaan, tiba-tiba mereka ditembak oleh suspek yang datang dari arah bukit berhampiran,” katanya.

Zulkipli berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai kelongsong peluru namun senjata api yang digunakan masih belum dikenal pasti.

“Berdasarkan keterangan rakan mangsa, serangan itu dilakukan oleh dua orang suspek dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa,” ujarnya.

Mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau, antaranya berkaitan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan kes mengikut Seksyen 302 KK. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI