fbpx

Program AiI peluang lepasan sekolah tingkat kemahiran kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM40 juta untuk tahun ini menerusi Program Academy in Industry (AiI) yang menyasarkan pelajar lepasan sekolah untuk menceburi industri melibatkan pekerjaan berkemahiran.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, melalui AiI tersebut, mereka yang dipadankan di dalam industri akan diberi tawaran bekerja oleh syarikat AiI serta dilatih melalui latihan kemahiran berasaskan pekerjaan.

Menurutnya, pekerja tersebut seterusnya akan akan memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3 melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dalam tempoh lapan hingga 18 bulan bergantung kepada jenis kemahiran yang dipilih oleh industri.

“Syarikat ini akan mengambil mereka bekerja dengan minimum gaji ditawarkan kira-kira RM1,500 belum dicampur dengan elaun serta kerja lebih masa (OT). Rekod setakat ini, pekerja sektor pembuatan dan pengilangan melibatkan syarikat AiI purata boleh cecah RM2,000 gaji sebulan.

“Justeru, gaji ini akan lebih menarik minat pelajar lepasan sekolah. Tambah lagi ada yang memilih kekal di kampung atau kawasan lain tanpa bekerja, tetapi tidak terlibat dengan ekonomi gig selepas tamat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Academy in Industry (AiI)-SLDN di sini hari ini.

Rafizi berkata, mereka yang menyertai AiI akan diberikan insentif khas kira-kira RM2,500 kepada pelajar tersebut melibatkan RM1,500 untuk elaun perpindahan dan seterusnya bayaran RM500 dua kali untuk berikutnya, manakala bagi syarikat sebanyak RM1,500.

“Pelajar lepasan sekolah ini tidak mahu menyertai industri pembuatan dan pengilangan sedangkan gaji ditawarkan tinggi disebabkan ia memerlukan banyak belanja untuk berpindah.

“Mereka perlu berhijrah sekali gus memerlukan belanja untuk menyewa rumah dan sebagainya. Jadi elaun perpindahan disediakan untuk memastikan mereka ini tak perlu pening kepala (cari wang) untuk berpindah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dalam ucapannya berkata, inisiatif AiI merupakan platform terbaik untuk golongan muda yang ingin bekerja sambil belajar.

“Berkonsepkan latihan sebenar dalam syarikat, ianya akan dapat mengurangkan isu mismatch dan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

Program AiI adalah kerjasama Kementerian Ekonomi bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia serta syarikat.

Sehingga kini, sebanyak 200 syarikat rintis di bawah AiI telah berjaya mendapat pentauliahan SLDN dari JPK bagi memperkasakan tenaga kerja mahir dan produktif bagi memenuhi keperluan industri.

AiI merupakan salah satu agenda nasional yang memperkasakan bakat industri masa hadapan dengan sasaran 50,000 bakat tempatan untuk meningkatkan purata pencapaian pendidikan negara, mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI