PENAMPANG – Seorang pekerja pembersihan dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki di dalam parit bahu Jalan Putatan, berhampiran Kem Lok Kawi hari ini.
Mayat mangsa yang ditemui berhampiran sebuah motosikal itu dikenali sebagai Sefuan Taha, 33, yang hilang sejak 23 Julai lalu.
Ibnu Ismail, 64, berkata, dia bersama beberapa rakannya sedang melakukan kerja-kerja pembersihan semak di bahu jalan berkenaan sebelum menemui mayat terbabit.
Dia melihat tayar motosikal sewaktu menebas rumput sebelum mendekati dan mengambil kenderaan tersebut.
“Apabila menghampiri motosikal, saya terkejut melihat seorang lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan terduduk bersebelahan dengan kenderaan itu.
“Saya tergamam dan memaklumkan kepada rakan sebelum menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Ibnu yang sudah bekerja sebagai pemotong rumput sejak setahun lalu berkata, dia tidak terhidu bau pelik di tempat kejadian.
“Mayatnya dalam keadaan baik. Saya tidak tahu mangsa hilang sejak 23 Julai lalu. Saya dan rakan membersihkan kawasan berhampiran pada Jumaat lalu namun tiada perkara yang mencurigakan,” katanya.
Sementara itu, seapsukan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang melakukan siasatan di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2. Difahamkan, ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat itu adalah Sefuan.- KOSMO! ONLINE