PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang melanda di beberapa negeri di Semenanjung termasuklah Kuala Lumpur.
Cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 4 petang hari ini.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di Facebook memaklumkan, antara kawasan terlibat di negeri Pahang adalah Lipis, Raub dan Bentong.
“Selain itu di Selangor melibatkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
“Cuaca buruk yang sama dilaporkan melanda seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka serta dua daerah di Johor iaitu Tangkak dan Muar petang ini,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE