fbpx

Kes saman fitnah S.M Faisal-Caprice dijangka selesai Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S.M Faisal (tengah) dan Caprice (kanan)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Jumaat ini bagi pihak-pihak memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah antara ahli perniagaan, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice.

Saman berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu di Instagramnya adalah mengenai kes Emilia Hanafi yang juga bekas isteri S.M Faisal.

Perkara itu dimaklumkan peguam Ardy Suffian Akberdin yang mewakili S.M Faisal selaku plaintif selepas sebutan kes dalam kamar di hadapan Hakim Azian Othman.

“Mahkamah menetapkan 4 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya. Tarikh itu adalah bagi penyelesaian penuh. Hari ini S.M Faisal tidak dapat hadir kerana berada di luar negara dan akan balik pada 3 Ogos. Anak guam kami akan hadir di mahkamah pada Jumaat bagi penyelesaian kes,” katanya.

Sebelum ini, pihak defendan, Caprice ada meminta supaya anak guamnya menarik balik kes saman itu. Bagaimanapun sebelum kes saman itu ditarik, pihak-pihak perlu mempunyai persetujuan.

Ujarnya, ia antaranya membabitkan permohonan maaf dan kos persetujuan kerana itu adalah perlu bagi membolehkan mahkamah merekodkan penghakiman untuk keadilan kedua-dua belah pihak.

Dalam prosiding hari ini, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, turut hadir di mahkamah bersama peguamnya.

Pada prosiding pengurusan kes sebelum ini, Mahkamah Sesyen sama menetapkan tiga hari bermula Oktober ini bagi perbicaraan kes saman fitnah itu.

S.M Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co. pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan S.M Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, yang juga menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Kata plaintif, sehari selepas itu, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya pada 28 Jun tahun sama.

Ujar plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan plaintif berasa tertekan dari segi emosi selain cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya juga terkesan dan terganggu.

Pernyataan saman itu turut menyebut hantaran fitnah itu mengakibatkan plaintif mengalami keaiban, penghinaan, cemuhan, tohmahan, cacian, ejekan atau kebencian dalam kalangan masyarakat.

Justeru plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif turut menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, ejennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI