PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sedang mempertimbang untuk memfailkan saman terhadap pihak yang memfitnahnya berkait ucapan beliau ketika berada di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad lalu.
Pada masa sama, ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengucapkan terima kasih kepada anak salah seorang kariah masjid berkenaan yang telah memuat naik video penuh ucapan beliau tentang kejadian tersebut.
“Saya sangat kesal dengan tindakan beberapa pihak yang cuba mempolitikkan isu ini (dengan) menabur fitnah dan saya kecam tindakan tersebut. Malah, saya sedang pertimbang untuk (memfailkan) saman fitnah.
“Saya akan teliti dan saman pihak yang telah menabur fitnah sedemikian. Insya-Allah, saya percaya kebenaran akan mengatasi fitnah politik yang sedang ditabur berleluasa pada waktu ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena Public Sector Day 2023 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan JAIS mengesahkan menerima aduan berhubung gambar Fahmi berucap di ruang solat utama masjid berkenaan pada Ahad lalu.- KOSMO! ONLINE