PARIT – Dua lelaki maut termasuk remaja berusia 17 tahun selepas motosikal yang dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 19, Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja di sini semalam.
Nahas sekitar pukul 7 malam itu mengorbankan penunggang motosikal jenis Honda Dash, Jaafar Halid, 64, dan Iman Harith Othman yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian berlaku ketika motosikal Honda Dash ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Tanjung Belanja untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tua.
Katanya, apabila sampai di simpang rumah, mangsa telah membelok ke kanan, menyebabkan motosikal ditunggang remaja berusia 17 tahun dari arah Bota Kiri ke Tanjung Belanja tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal mangsa.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semasa kejadian, kedua-dua mangsa yang merupakan pekebun dan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Parit tidak memakai topi keledar.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE