Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
JUARA bertahan Sukan Malaysia (Sukma), Terengganu memohon had umur para atlet yang menyertai temasya sukan dwitahunan negara dilanjutkan kepada 23 tahun berbanding 21 tahun pada masa ini.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, ia bertujuan memberi peluang para atlet yang sudah membuat persiapan rapi sejak dua tahun lalu berpeluang bertanding pada Sukma Johor yang ditangguhkan pada tahun 2022.
“Semua atlet di seluruh negara sudah membuat persiapan sejak tahun 2018 dan sayang sekiranya kerja keras serta usaha mereka sia-sia sekali gus terlepas peluang mewakili negeri dan bersaing pada Sukma.
“Sehubungan itu, kita berharap kelonggaran had umur penyertaan itu dapat dipersetujui bersama Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang berikutnya,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Nerus, Terengganu semalam.
Ahmad Shahrizal memberitahu, MSNT telah memperkenalkan program Persediaan Atlet 2022 berikutan penangguhan Sukma Johor.
Menurut beliau, sesi latihan Fasa 1 program tersebut akan bermula hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sesi latihan berkenaan melibatkan barisan atlet sedia ada selepas senarai acara sukan dipertandingkan pada Sukma 2022 di Johor nanti juga kekal sama.
“Walaupun Sukma ditangguhkan sehingga 2022, kita berharap kerajaan negeri dapat meneruskan sokongan agar misi mempertahankan kejuaraan keseluruhan Sukma dapat direalisasikan,” tambah beliau.