fbpx

Kerani rugi RM1.06 juta terjerat ‘Love Scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SIBU-Seorang kerani di sini sanggup memberikan wang dianggarkan berjumlah RM1.06 juta kepada kekasih yang dikenalinya dari Facebook, tanpa menyedari dirinya terperangkap dengan ‘Love Scam’.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu telah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Thomas Yeng Leong melalui Facebook pada pertengahan tahun lepas.

“Mangsa mula menjalin hubungan cinta serta berhubung dengan suspek melalui Whatsapp bernombor 0173695070,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa mula memberikan wang kepada suspek selepas kekasihnya itu yang mengatakan bekerja sebagai jurutera di London meminta bantuannya membuat pembayaran pembelian bahan kimia untuk pekerjaannya.

“Mangsa telah melakukan 25 transaksi pemindahan wang berjumlah RM395,000 ke lima akaun bank berlainan pada awal Ogos 2022 sehingga penghujung September 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas itu, Mancha berkata pada September 2022, suspek berjanji akan datang ke Malaysia dan beberapa hari kemudian mangsa telah dihubungi pihak kastam yang mengatakan suspek telah ditahan di Thailand kerana membawa wang tunai Dolar melebihi had ditetapkan dan bayaran denda dikenakan untuk membebaskan suspek.

Katanya mangsa kemudian melakukan tiga transaksi pemindahan wang berjumlah lebih RM255,000 ke tiga akaun bank berlainan pada penghujung September 2022 sehingga awal Oktober 2022.

Selain itu, beliau berkata mangsa turut melakukan 36 transaksi pemindahan wang berjumlah RM414,000 ke 16 akaun bank berlainan pada awal Mei lalu sehingga penghujung Julai lalu bagi tujuan pembelian barang kerja suspek, urusan datang ke Malaysia, urusan kecemasan dan banyak lagi.

“Mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran atas pelbagai alasan tetapi mangsa masih gagal berjumpa dengan suspek,” katanya.

Ekoran itu, Mancha berkata mangsa tampil membuat laporan polis di sini, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI