PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang bakal melanda beberapa kawasan di Perak serta Selangor sehingga pukul 12 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, cuaca buruk tersebut tertumpu sekitar Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak.
“Bagi negeri Selangor pula, ramalan cuaca buruk itu hanya melibatkan daerah Sabak Bernam pagi ini,” jelas laporan itu.
Sehubungan itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi tempoh yang sama di kawasan-kawasan terlibat.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE