KUALA LUMPUR – Wanita yang tular membuat provokasi dan memaki hamun pihak polis dalam Bahasa Tamil selepas disaman di Jalan Tun Sambanthan, di sini, Isnin minggu lalu telah ditahan.
Bagaimanapun, suspek yang juga merupakan seorang pempengaruh dan model itu dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan polis, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung berhubung video tular memaparkan perbuatan suspek pada pukul 9.30 pagi, Khamis lalu.
“Hasil siasatan mendapati, suspek yang berusia 38 tahun itu tidak puas hati kerana disaman dengan kesalahan menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu.
“Suspek turut dirakam melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat dalam Bahasa Tamil kepada seorang anggota polis.
“Selain itu, hal yang berlaku ini dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Mohd. Shuhaily memaklumkan, suspek telah ditahan pada pukul 6.30 petang, Jumaat lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis dan orang awam diminta tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 40 saat seorang wanita tempatan melakukan provokasi dan menjerit kata-kata kesat pada anggota polis di lokasi kejadian.
Difahamkan, wanita tersebut bertindak demikian selepas disaman kerana menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu di Jalan Tun Sambanthan, di sini, Isnin minggu lalu.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE