KUALA LUMPUR – Polis akan menahan lelaki dipercayai seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di platform Transit Aliran Ringan (LRT), Stesen Maluri, Cheras, disini dalam masa terdekat ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, suspek tersebut telah dikenal pasti dan dipercayai berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Dia kini berada di HKL, kita akan tangkap dia tidak lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin mengesahkan pihak polis sedang mengesan suspek selepas menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 pagi daripada seorang wanita tempatan.
Beliau dilaporkan berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila dipeluk secara tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali di stesen LRT Maluri, di sini pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi terbabit berjaya menyelamatkan wanita itu dalam kejadian pada pukul 7.58 pagi.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Shuhaily, pihaknya turut menahan lelaki warga Ghana dipercayai memanjat kereta seorang wanita ketika memandu di bulatan Kampung Pandan di sini pada 17 Julai lalu.
“Lelaki itu direman dan dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Dia juga akan dihantar untuk pemerhatian mental,” ujarnya.
Pada 19 Julai lalu, tular seorang lelaki warga asing memanjat sebelum berguling atas sebuah kereta di tengah jalan di Kampung Pandan di sini.
Difahamkan, mangsa cemas selain membunyikan hon beberapa kali sebelum tindakan lelaki itu dihalang orang awam. – KOSMO! ONLINE