fbpx

Penghidap kanser rayu sumbangan teruskan kemoterapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maryam (dua dari kanan) bersama suami dan dua anaknya ketika ditemui di Semenyih baru-baru ini.

SEMENYIH – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) Neurocognitive Disorder yang menghidap penyakit barah limfoma tahap empat merayu sumbangan daripada orang ramai bagi menampung kos kemoterapi.

Maryam Mansur, 41, berkata, sejak disahkan menghidap barah itu pada Disember lalu, kehidupan keluarganya berubah apabila suaminya, Mokhtam Othman,50 , tidak dapat menjalankan perniagaan makanan menyebabkan pendapatan keluarga terjejas.

Menurut ibu dua anak itu, dia sudah menjalani enam kali kemoterapi dan perlu menghabiskan kira-kira tiga sesi lagi pada bulan ini yang menelan belanja sekitar RM12,000.

“Kos bagi setiap sesi rawatan kemoterapi adalah beRM4,000, bagi kami keluarga yang kurang pendapatan sudah pasti begitu terasa .

“Pendapatan suami tidak sampai RM1,000 bulan. Sekarang dah masuk bulan Ogos, bagaimana saya hendak mencari duit sebanyak itu (RM12,000) untuk menjalani rawatan kemoterapi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini baru-baru ini.

Maryam memberitahu, dia mempunyai dua anak perempuan berusia 17 serta 18 tahun dengan kedua-dua mereka mempunyai masalah kesihatan antaranya autisme dan kencing manis.

“Ada suatu ketika, saya beritahu anak-anak umi (panggilan ibu) hendak pakai duit untuk rawatan umi. Lepas umi dapat bekerja semula, umi akan memberikan perhatian kepada kesihatan anak-anak umi pula.

“Bukan mengabaikan tahap kesihatan mereka, tetapi biarlah saya sihat dahulu dan baru saya boleh fokus perkara-perkara lain,” katanya.

Maryam menerima sumbangan daripada pusat zakat dan elaun pekerja cacat berjumlah RM950 sebulan.

Akui wanita itu, jumlah tersebut bagaimanapun tidak mencukupi bagi menampung segala kos termasuk ubat-ubatan selain terpaksa berulang-alik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara yang menelan belanja besar setiap bulan.

“Kadang-kadang malu hendak minta (sumbangan) kepada orang ramai, tetapi ini sahaja cara saya boleh berpaut. Harap ada sinar selepas ini jika ada yang ingin membantu saya,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 155050205736 atas nama Maryam atau boleh menghubunginya di talian 018-2381855.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI