LONDON – Pemain pertahanan England, Tyron Mings percaya pemain baharu The Three Lions, Jude Bellingham adalah pemain yang sangat berbakat serta memiliki potensi besar.
Bellingham pada awalnya disenaraikan dalam skuad bawah 21 tahun, namun dinaikkan pangkat ke skuad senior selepas Trent Alexander-Arnold dan James Ward-Prowse terpaksa digugurkan akibat kecederaan.
Pemain berusia 17 tahun itu berhijrah ke Borussia Dortmund pada jendela perpindahan musim panas lalu dan sudah melakukan enam penampilan musim ini.
“Saya berpeluang menyaksikan dia berlatih dalam tempoh beberapa hari dan dia adalah pemain yang sangat hebat serta berpotensi menjadi pemain terbaik satu hari nanti.
“Walaupun dia adalah pemain Birmingham sebelum ini, namun saya tidak ada masalah untuk mengakui kemampuannya. Saya gembira dia berada dalam pasukan kami,” kata Mings.
Tambah pemain Aston Villa itu lagi, Bellingham juga dilihat sebagai pemain yang sangat merendah diri meskipun sudah mengecap populariti di usia muda.
“Selepas mengenali Bellingham, dia seorang pemain yang tidak suka menunjuk-nunjuk. Walaupun sudah berada pada tahap tertinggi di usia muda, namun dia tetap menghormati pemain senior,” ujarnya.
– AGENSI