LONDON – Media di Sepanyol melaporkan Manchester United melakukan kejutan apabila sudah mengemukakan tawaran rasmi kepada RB Leipzig bagi mendapatkan khidmat pemain pertahanan Josko Gvardiol.
Tawaran itu dikatakan bernilai £86 juta (RM502.5 juta) dan berita ini pastinya meresahkan Manchester City yang yang sebelum ini dilaporkan sudah mencapai kata sepakat secara lisan dengan RB Leipzig, namun belum ada sebarang nilai dipersetujui.
Menerusi laporan sama, United bersedia untuk mengambil kesempatan selepas City berdepan kesukaran untuk mencapai persetujuan dengan Leipzig membabitkan nilai perpindahan.
Selain usaha memperkukuhkan barisan pertahanan, The Red Devils juga mahu menjadikan Gvardiol sebagai pengganti selepas United nekad melepaskan Harry Maguire untuk menyertai mana-mana pasukan yang berminat.
Selain itu, keinginan Erik Ten Hag untuk mendapatkan tambahan pemain berkaki kiri juga menjadi penyebab kepada tawaran ini dibuat kerana United hanya bersandarkan kepada Lisandro Martinez ketika ini.
Pengurus dari Belanda itu memberi bayangan Gvardiol adalah calon sesuai, namun United ketika ini turut berdepan kekangan Peraturan Kewangan Adil (FFP) dan mereka tidak boleh berbelanja lebih daripada £120 juta (RM701.2 juta).
Untuk itu, Ten Hag dikatakan tiada pilihan lain kecuali perlu melepaskan beberapa pemain atau berdepan kemungkinan tidak dapat meneruskan usaha untuk mendapatkan Gvardiol. – AGENSI