fbpx

Hakim kurang punca kes jenayah seksual kanak-kanak tertangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina.

SEREMBAN – Faktor kekurangan Hakim Mahkamah Sesyen di negara ini menjadi antara punca banyak kes jenayah seksual kanak-kanak tidak dapat diselesaikan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini berikutan Hakim Mahkamah Sesyen sedia ada perlu menyelesaikan pelbagai kes-kes lain dan bukan hanya melibatkan kes kanak-kanak.

“Berdasarkan kajian setakat hari ini terdapat sebanyak 6,791 kes penganiayaan jenayah seksual kanak-kanak di seluruh negara dengan kes tertinggi di Kelantan 1,097 kes.

“Kerajaan telah menyediaan sistem yang canggih, tetapi Hakim (Mahkamah Sesyen) yang kita mahukan keputusan juga kendalikan kes lain, itu menjadi cabaran besar.

“Harapan kita kes jenayah seksual kanak-kanak ini dapat diselesaikan dalam masa 12 bulan, tetapi cabaran atau isunya kadang-kala kes ini tidak dapat diteruskan kerana mangsa menarik balik kes dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Azalina melawat Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Menurut Azalina, pihak mahkamah juga berdepan cabaran untuk menyelesaikan kes-kes kanak-kanak disebabkan faktor saksi, penyediaan laporan pakar dan permohonan penangguhan oleh peguam.

“Setakat ini, secara keseluruhan kadar pelupusan kes jenayah seksual kanak-kanak adalah 72.6 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan Mahkamah Bergerak di seluruh negara bagi memastikan kes sedemikian didengar dan diselesaikan dengan cepat.

Tambah beliau, kerajaan juga telah memperuntukkan RM5 juta untuk menaiktaraf 40 buah Mahkamah Sesyen untuk kemudahan fasiliti yang lebih canggih berkaitan kes jenayah seksual kanak-kanak seperti bilik saksi yang kondusif, alat bantu beri keterangan dan patung anatomi.

Dalam pada itu, Azalina memberitahu rang undang-undang khusus untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak di negara ini akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI